Apabila diperkatakan mengenai kebahagiaan, sudah pasti
semua mengimpikannya. Bahagia tidak
hanya dimiliki dengan kekayaan semata-mata. Ada kalanya yang kaya runsing dengan kekayaannya ditambah pula dengan keintiman hubungan cinta suami
isteri dan keluarga yang telah tiada. Kebahagiaan
itu dapat diraih dan dinikmati jika kita meletakkan keredaan Allah dalam kehidupan kita.
Sentiasa bersyukur denganNya, bersikap qana'ah atau sentiasa berasa cukup
serta berpuas hati dengan apa yang ada. Allah
berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka
menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi
tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28) .
Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Kaya itu bukanlah diukur dengan
banyaknya harta benda, akan tetapi kaya yang sebenarnya adalah kaya hati."
(Hadis riwayat al-Bukhari). Orang yang
kaya hatinya, sentiasa redho dan
berasa puas di atas usahanya. Tidak memiliki rasa tamak untuk mengejar sesuatu
dengan berlebih-lebihan tanpa keperluan, tidak rakus mengejar dunia sehingga sanggup meninggalkan perkara-perkara fardhu, ‘menikam’
orang lain, rasuah, pecah amanah, penipuan serta tidak pula meminta-minta. Selain itu, tidak dapat dinafikan
bahawa kehidupan yang bahagia merujuk kepada kehidupan berkeluarga. Dalam sesebuah keluarga, suami dan isteri sentiasa berkasih sayang, tolong-menolong dan
saling memahami dalam setiap hal ehwal urusan kehidupan Dalam
persoalan ini, suami selaku ketua keluarga bertanggungjawab mengemudi keluarga dibinanya menuju kebahagiaan serta berusaha
membimbing ahlinya kepada perkara dicintai Allah. Sebenar-benar kebahagiaan itu adalah
kebahagiaan yang dibina di atas keredaan Allah, sekali gus menjamin kehidupan
bahagia yang berkekalan sehingga ke akhirat.
Firman Allah yang bermaksud:
"Orang yang beriman dan beramal salih, bagi mereka kebahagiaan dan tempat
kembali yang baik." (Surah ar-Ra'd, ayat 29)